29 August 2009

TABUNG UKHUWAH DANA PERUBATAN DR. HAFIDZI MOHD NOR( HMN)



Yang berat sama dipikul, yang sama dijinjing. Ukuwah bukanlah satu ikatan yang boleh diterjemahkan dengan kata-kata semata-mata. Terjemahan terbaik tanda kasih dan ukhuwah seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain ialah melalui perbuatan.

Sebagai peringatan marilah kita hayati apa yang ditulis oleh Iman Al-Ghazali tentang sahabat. Menurut al-Ghazali, Alqamah berpesan kepada puteranya, katanya: “Wahai anakku! Kiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut”:

Jika engkau membuat bakti kepadanya, dia akan melindungimu. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas baik persahabatanmu itu. Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya, dia akan membantumu. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik. Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripadamu, dia akan menghargai dan menyebut kebaikanmu. Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, dia akan menutupnya. Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya. Jika engkau berdiam diri (kerana malu untuk meminta), dia akan menanyakan kesusahanmu. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahanmu (membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu). Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkanmu. Jika engkau merancang sesuatu, nescaya dia akan membantumu. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.



Dr Hafizi – Yang Berat Sama Dipikul Yang Ringan Sama Dijinjing

Kenali Dr Hafizi Mohd Nor

Prof Madya Dr Hj Hafidzi Mohd Noor berusia 46 tahun berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dan kini menetap di Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan. Berkelulusan PhD Zoology (University of Aberdeen, Scotland) dan kini bertugas sebagai Pensyarah di Jabatan Perlindungan Tumbuhan, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia. Berkahwin dengan Hajjah Zuraidah Kornain dan dikurniakan tiga orang cahayamata.

Beliau merupakan pendakwah dan aktivis kemasyarakatan sejak masih menuntut di universiti sehinggalah hari ini. Antara jawatan yang pernah dan sedang disandang oleh beliau ialah Pengerusi JIM INTERNATIONAL (1999 – 2000), Setiausaha Agong JIM (2001 – 2003), Mantan Naib Presiden JIM (2004 – 2005) dan Pengarah PACE (Palestine Centre of Excellence) . Beliau juga sering menjadi tetamu Jemputan dan wawancara (TV/Akhbar Harian/Majalah) , Radio IKIM (Ruangan Duniaku Buku dan Slot Fast-2-Fund untuk Palestin), Media Prima: TV3 (Buletin Utama), Astro Awani dan aktif menulis dalam Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star, Majalah i, Majalah ANIS, Majalah Ummi.

Selain dari itu beliau juga sering dijemput untuk mengendalikan kursus-kursus motivasi belajar dan persediaan menghadapi peperiksaan di sekolah-sekolah. Memberikan kuliah bulanan mengenai Sejarah Islam di Nusantara di Masjid Negeri Shah Alam dan beberapa buah masjid dan institusi di sekitar Kuala Lembah Kelang.

Kasihnya Pada Palestin

Kasihnya pada Palestin memang tidak terungkap oleh kata-kata. Beliau begitu komited dalam memperjuang isu Palestin secara aktif semenjak tahun 1999. Tanpa penat lelah. Ketika sihat dan sakit. Beliau secara berterusan berceramah di surau, masjid, pejabat, kilang, sekolah, jabatan dan institusi kerajaan.

Program kecil atau besar, selagi ia atas nama Palestine, dia akan berdiri penuh bersemangat memberikan pengisian dan perkongsian. Tidak sedikit program kecil dan besar yang beliau sertai. Cukuplah disenarai beberapa program diantara banyak program yang melibatkan beliau.

Antaranya program Nakbah dengan Kerajaan Negeri Kedah pada bulan Jun 2008, Program bersama Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Perlis pada bulan Julai 2008 dan Forum al Quds anjuran gabungan NGO Indonesia di Jakarta pada bulan Ogos 2008.

Selain dari isu palestin, keprihatinannya terhadap keadaan umat Islam memang tidak pernah disembunyikannya. Beliau pernah mengulas dan menjadi ahli panel isu-isu antarabangsa Umat Islam – Kempen Bantah Serangan Afghanistan dan Kempen Anti Perang Iraq.

Beliau juga tidak melepaskan kesempatan untuk bersama dalam misi-misi kemanusiaan, antaranya :

  1. Menyertai misi kemanusiaan ke Mindanao (pasca perang tahun 2001) - melawat kem-kem pelarian umat Islam di Cotabatu dan Maguindanao.
  2. Mengetuai misi kemanusiaan ke Maluku ketika berlaku rusuhan RMS (Republik Maluku Selatan) dan pembunuhan beramai-ramai umat Islam di Maluku (2000).
  3. Mengetuai misi Kasih Aceh pasca tsunami pada tahun 2005 di bawah anjuran JIM-PKS (Indonesia).

Rindunya Pada Kegemilangan Ummah dan Islam

Rindunya pada kegemilangan ummah dan Islam sering dilontarkan dalam penulisan dalam forum maya atau media cetak. Beliau bukan sahaja berkongsi ilmu malah mendidik masyarakat melalui penulisannya. Antara buku-buku penulisan beliau ialah :

1. Ciri-ciri Pelajar Cemerlang

2. Panel Penulis Ensaiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu (DBP)

3. Panel Penulis Ensaiklopedia Sains untuk pelajar (DBP)

4. Israel: Kenapa Dunia Tidak Boleh Mengiktirafnya (JIM Media)

5. Berdamai Dengan Israel Berapa Harganya (JIM Media)

6. Dalang di Palestin: Hamas atau Israell (JIM Media & PACE)

7. Jejak Risalah di Nusantara 1: Dari Pra Islam Hingga Era Admiral Muhammad Cheng Ho (JIM Media)

8. Lambaian Kaabah (Penulisan bersama isteri Zuraidah Kornain) (JIM Media)

Azam Dan Keinginan Sentiasa Kuat, Namun Ujian Penyakit Membataskan Pergerakan

Azamnya dan keinginannya sentiasa kuat. Namun sebagai insan, kita semua diuji. Beliau turut diuji dengan sakit buah pinggang” Polycystic Disease of the Kidneys”. ( It is a rare disease but is Autosomal Dominant,-. inherited.) yang semakin hari semakin membataskan pergerakan dan kekuatan fizikalnya.

Setelah 5 tahun melalui proses dialisis, kesakitan yang dialaminya semakin kuat sehingga ada ketikanya ia membataskan pergerakan insan yang sentiasa ingin mencurahkan baktinya pada ummah dan agama.

Walaupun semangatnya sangat kental dan keinginannya sentiasa kuat, beliau terpaksa akur dengan keadaan fizikalnya. Kerana cita-cita dan kerja-kerja dakwah yang baginya masih banyak untuk dilaksanakan. Beliau mula mencari ruang untuk mendapatkan rawatan lanjut seperti pembedahan buah pinggang agar beliau dapat terus memperjuangkan apa yang ingin sangat dilihat iaitu kemenangan palestin dan kegemilangan ummah dan Islam dimana-mana jua diatas muka bumi ini.

Namun, atas sikapnya yang tidak suka meminta-minta membuatkan pendakwah ini terus berusaha mendapatkan kos rawatan bersama keluarganya. Kalau boleh mereka ingin berdikit-dikit mengumpul perbelanjaan dan menjual apa-apa aset yang dimiliki untuk membiayai kos pemindahan buah pinggangnya yang dijangka menelan belanja lebih kurang RM250 ribu.

Atas Dasar Ukhuwah Islamiah

Memandangkan Dr Haifizi bukanlah pendakwah yang bergerak sendirian. Segala perjuangannya selama ini juga bukan atas agenda peribadi. Beliau adalah sorang ikhwah yang sangat komited dengan apa juga tugas dakwah yang diberikan kepadanya.

Oleh itu, kita berasa sangat dukacita jika seorang ikhwah yang sangat komited dan kini sedang menderita sakit dibiarkan menguruskan keadaannya sendirian.

Atas dasar ukhuwwah Islamiah, Jawatan Kuasa Tabung Ukhuwah Dana Perubatan Dr Hafizi Mohd Nor ditubuhkan dan diluluskan dalam mesyuarat bulanan JKP (JIM) pada Ogos yang lalu.

Tujuan penubuhan tabung ini ialah untuk mengumpul dana sebanyak RM250K bagi menampung kos pemindahan buah pinggang Dr Hafidzi. Jawatankuasa ini juga berperanan mengenalpasti kaedah rawatan lain dengan nasihat pegawai perubatan yang merupakan ahli JK ini.

Semoga segala sumbangan ikhlas antum akan dihitung sebagai amal salih dan dilipatganda di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini di hari perhitungan nanti di hadapan Allah SWT Pencipta Alam ini.

JK Tabung Ukhuwah Dana Perubatan Dr.Hafidzi

Sahrim Haji Ahmad (Pengerusi)

Prof.Dr.Abd. Latiff Mohamed

Dr.Hj.Selamat Aliman

Dato’ Hj.Mustafa Kamal Mohd Zaini

Roha Hassan

Jusri Jusoh

7 Ramadhan 1430

No comments: