15 June 2009
Berhentilah menjadi gelas

Seorang guru datang mendekati seorang anak muridnya setelah melihat anak ini sering bersedih sejak kebelakangan ini. Bertanya si guru,
" Kenapa kamu asyik bermurung si anak. Bukankah banyak sekali perkara yang indah di dunia ini. Kemana perginya wajah syukurmu?"
" Wahai mu'allim, banyak sungguh perkara yang merunsingkan aku sehingga sungguh sulit untuk aku tersenyum sejak akhir ini. Masalah seolah-olah bertimpa-timpa menjengah hatiku ini", jawab si anak.
Terkekeh guru itu mendengar luahan si anak muridnya, lalu berkata,
"Nah pergi ambil segelas air ini dan dua genggam garam. Mari aku periksa dan perbaiki suasana hatimu itu"
Si anak berlalu dan datang dengan segelas air dan 2 genggam garam.
"Cuba ambil segenggam garam dan masukkan ke dalam segelas air ini. Setelah itu cuba kau minum air dalam gelas itu" perintah si guru kepada anak muridnya yang masih sunggul.
"Nah, bagaimana rasanya?"tanya sang guru
"Asin sekali dan perutku jadi mual" jawab si anak dengan muka yang berkerut-kerut. Terkekeh si guru dengan respon si anak tadi.
"Baiklah. Sekarang kau bawa segenggam garam yang berbaki dan ikut aku" arah si guru sambil membawa si anak ke satu tasik. "Sekarang kau tebarkan garam yang berbaki ke dalam tasik ini" sambung si guru.
Si anak menebarkan genggaman garam yang berbaki ke dalam tasik sedang rasa asin masih kuat terasa di mulut. Ingin saja diluahkan rasa asin tapi tidak sopan telahannya berbuat demikian di hadapan gurunya.

"Sekarang cuba kau rasa air tasiknya". arah sang guru sambil mencari bangku dan berdekatan untuk didudukinya. Si anak akur dengan arahan gurunya. Si anak menangkupkan kedua tangannya sambil menceduk air tasik lalu membawa ke mulutnya untuk meneguknya.
"Apa yang kau rasa?" tanya si guru setelah memeerhati anak muridnya yang patuh.
"segar, segar sekali", jawab si anak sambil mengelap bibirnya yang tersisa air tasik tadi.
"Terasakah garam yang kau tebarkan tadi?" uji si guru lagi.
"Tidak, tidak sama sekali" jawab si anak sambil terus menceduk air tasik.
"Anakku," sambung si guru setelah dilihat anak muridnya puas meminum air tasik yang segar tadi. "Segala masalah dalam dunia ini sekadar segenggam garam. Tidak kurang tidak lebih. Hanya segenggam garam. Banyaknya masalah, kerisauan dan penderitaan yang kau alami di dunia ini telah dikadar dengan adil oleh Allah swt, sesuai untuk dirimu. Jumlahnya tetap tidak lebih tidak kurang. Setiap manusia yang lahir ke dunia ini pun demikian. Tidak ada seorang manusia yang dilahirkan, walaupun seorang Nabi, terlepas dari penderitaan. Malah kekasih Allah Rasulullah itu pun mengalami penderitaan yang perit dalam hidupnya berdakwah kepada manusia". Si anak terdiam mendengar dengan teliti.
"Tapi anakku, rasa 'asin' yang terasa itu sungguh tergantung pada BESARNYA HATI yang menampung. Jadi anakku, supaya tidak terasa menderita asinnya, berhentilah menjadi gelas. Jadikanlah hati dalam dadamu seluas tasik agar dapat kau menikmati hidup dengan puas".
(Cerita ini bukan cerita K'Shee, K'Shee dapat dari mana sudah lupa sumbernya. K'Shee edit mengikut cita rasa..)
K'Shee: Kadang-kadang kita diuji Allah dengan ujian. Tapi percayalah yang setiap ujian itu sesuai dengan diri kita. Dan ujian Allah adalah tarbiyyah dari Allah untuk menjadikan diri kita seorang yang lebih kuat. Terngiang kata-kata naqibah K'Shee,
"Dugaan yang Shee dapat ini sebenarnya melatih Shee untuk menjadi seseorang yang lebih teliti dalam menghadapi kehidupan", InsyaAllah.
14 June 2009
Air Mata Hunain

Perang Badar baru saja selesai. Namun, peristiwa itu tidak mungkin hilang begitu saja dari benak fikiran para sahabat. Ini kerana Badar merupakan pengalaman mereka yang pertama dalam keramaian genderang perang.
Ketika perang Hunain berakhir dengan kemenangan kaum muslimin, Rasulullah SAW dan kaum muslimin mendapatkan harta rampasan perang yang melimpah. Perang ini berlaku pada tahun ke-8 hijrah. Dengan penaklukan kota Mekah, kaum kuffar Arab akhirnya bergabung, bersedia menyerang kaum muslimin. Bahkan, mereka turut membawa anak isteri mereka juga harta benda yang mereka miliki. Perang yang akan merka tempuh seolah-olah perang pertarungan harga diri sehingga mereka harus membawa semua yang mereka miliki untuk berada dalam kafilah perang mereka.
Kemenangan kaum muslimin mendatangkan banyak harta rampasan perang dan tawanan, 6 ribu orang tawanan, 24 ribu unta, 40 ribu lebih kambing, dan 4 ribu lebih uqiyah perak.
Pembahagian Harta Rampasan Perang
Ketika perang berkahir dan setelah beberapa lama Rasulullah menunggu kaum Hawazin yang mungkin datang untuk menebus tawanan mereka di Ji’ranah. Rasulullah SAW membahagi-bahagikan harta rampasan perang kepada para muallaf, pemuka Mekah yang belum lama masuk Islam, dengan jumlah yang cukup besar untuk mengikat hati mereka.
Komentar Terhadap Tindakan Rasulullah SAW
Lalu Saad nbin Ubadah datang ke tempat baginda seraya berkata, “Wahai Rasulullah, di hati orang-orang Ansar ada perasaan tidak puas hati terhadap engkau kerana pembahagian harta rampasan perang yang telah engkau lakukan. Engkau membahagi-bahagikan nya kepada kaum engkau sendiri dan engkau memberikan bahagian yang amat besar kepada beberapa kabilah Arab, sedangkan orang-orang Ansar itu tidak mendapat apa-apa”.
Kemudian Rasulullah SAW bertanya, “Kalau demikian keadaannya, engkau berpihak kepada siapa wahai Saad?” Saad pun menjawab, “Wahai Rasulullah, tidak ada pilihan lain kecuali aku ikut bersama kaumku”.
“Kalau begitu kumpulkan kaummu di tempat ini!” kata Rasulullah SAW kepada Saad.
Kemudian Saad mengumpulkan semua orang Ansar di tempat yang ditunjukkan Rasulullah. Ada beberapa Muhajirin hendak ikut masuk, namun mereka tidak diperkenankan masuk daan hanya orang-orang Ansar sahaja yang masuk ke dalam tempat itu. Setelah semua orang Ansar telah berkumpul, maka Saad memberitahu Nabi SAW dan baginda pun datang berjumpa dengan mereka.
Taujih Rasulullah SAW
Setelah memuji dan mengagungkan Allah, baginda bersabda, “Wahai kaum Ansar, aku sempat mendengar sosek-sosekdari kalian dan dalam diri kalian ada perasaan tidak puas hati terhadapku. Bukankah dulu aku datang ketika kalian dalam keadaan sesat dan Allah memberikan petunjuk kepada kalian? Bukankah dahulu kalian adalah miskin lalu Allah membuat kalian menjadi kaya dan hati kalian bersatu?”
Mereka menjawab, “Begitulah, Allah dan rasul-Nya lebih murah hati dan banyak kurnianya”.
“Apakah kalian tidak ingin memenuhi seruanku wahai orang Ansar?”
Mereka menjawab, “Dengan apa kami harus memenuhi seruanmu wahai Rasul? Segala anugerah dan kurnianya hanyalah milik Allah dan Rasul-Nya”.
Lalu baginda bersabda, “Demi Allah, jika kalian mahu, kalian perlu membenarkan dan dibenarkan, maka kalian boleh katakan, “Engkau telah datang kepada kami ketika engkau didustakan kaum engkau, kami menerima engkau. Ketika engakau dalam keadaan lemah, kamilah yang menolong engkau. Ketika engkau diusir, kamilah yang memberikan tempat. Ketika engkau dalam keadaan papa, kamilah yang menampung engkau”.
Setelah mengingatkan orang-orang Ansar bahawa mereka lebih berjasa kepada Rasulullah SAW dari orang-orang Quraisy, baginda kemudian bersabda, “Apakah di dalam hati kalian masih terdetik hasrat kepada dunia yang dengan keduniaan itu sebenarnya aku hendak mengambil hati segolongan orang agar masuk Islam. Sementara terhadap keislaman kalian aku tidak lagi meragukannya? Wahai sahabat Ansar, apakah di hati kalian tidak berkenan jika mereka membawa pulang kambing dan unta, sedangkan kalian pulang bersama Rasulullah ke tempat tinggal kalian?”
Demi Zat yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, kalau bukan kerana hijrah, tentu aku termasuk golongan Ansar. Jika para sahabat menempuh suatu jalan di celah gunung dan orang-orang Ansar menempuh suatu celah yang lain, tentu aku akan memilih celah yang dilalui oleh orang Ansar. Ya Allah, rahmatilah orang-orang Ansar, anak-anak Ansar, dan cucu orang-orang Ansar”.
Setelah mendengar taujih dari Rasulullah SAW yang mengajak mereka mendahulukan akhirat dan nikmat yang besar, mereka pun menitiskan air mata hingga janggut mereka basah lembab dengan air mata sambil berkata, “Kami redha tindakan Rasulullah dalam urusan bahagian dan pembahagian. Setelah itu, mereka bersurai dan kembali ke tempat mereka semula”.
Renungan Peristiwa Hunain
Kejadian pembahagian rampasan perang ini merupakan tarbiyah bagi para sahabat. Kadang kala ketika kita merasa sudah banyak berbuat untuk dakwah, maka kita merasa bahawa kita berhak atas semua keuntungan duniawi dari dakwah. Oleh itu, seperti kejadian Hunain, sebahagian sahabat merasa bahawa mereka lebih berhak atas rampasan perang Hunain dibandingkan dengan orang-orang Quraisy yang baru masuk Islam ketika Fath Al-Makkah.
Ketika hati kita dipenuhi dengan rasa protes kerana kita merasa bahawa jasa kita tidak dihargai, maka prasangka pun akan menghinggapi hati kita sehingga dugaan buruk terhadap lain menguasai kita, seperti yang berlaku kepada orang-orang Ansar pada peristiwa pembahagian harta rampasan perang.
Yang lebih berbahaya adalah jika kekecewaan atas tindakan itu menular kepada orang lain sehingga suasana ukhrawi tidak terlihat.Yang ada sebaliknya, ejekan disebabkan kekecewaan dan tidak puas hati terhadap pimpinan. Jika keadaan ini tidak cepat diselesaikandengan penjelasa-penjelasa n daripada pihak pimpinan, maka tidak mustahil keadaan ini akan bertambah parah menjadi pergaduhan atau perpecahan.
Di pihak yang lain, sebagai seorang pimpinan, Rasulullah SAW menyedari bahawa tidak seluruh landasan tindakannya diketahui oleh para sahabat. Oleh itu, baginda berinisiatif untuk menjelaskan i’tibarat, dan konsider kepada para tentera. Ini perlu cepat dilakukan agar keadaan tidak bertambah teruk. Semakin cepat akan semakin baik, kecuali jika ada program atau rancangan yang lebih efektif untuk menyelesaikan keadaan seperti itu.
Kejadian Hunain telah berlalu sekian lama, tetapi pelajaran dan hikmah yang dapat diambil sentiasa mengalir bagai air dari pergunungan yang dapat menyegarkan dan menghilangkan rasa haus generasi penerus perjuangan. Mudah-mudahan Allah masih membuka hati kita agar kita dapat melihat sesuatu dengan benar dan hati pun tidak terfitnah, terjangkit penyakit dari keadaan yang sam,a dengan keadaan yang dialami oleh sahabt-sahabat Ansar pada masa-masa pertama perjuangan Islam.
10 June 2009
..menunaikan hak-Dakwah Kita Tidak Selektif
Mula-mula terasa kekok juga untuk bersama-sama dengan adik-adik penggerak yang lain bersama-sama menyantuni madu' yang rata-rata jauh lebih muda dari K'Shee. Maklum, 3 tahun dalam dakwah di UK boleh dikatakan semua madu' adalah adik-adik yang baru menjengah usia di universiti. Sekarang K'Shee berhadapan dengan generasi yang jauh lebih fragile. Sungguh pengajaran pertama adalah berlapang dada. Hati beringat-ingat supaya tidak mempersoalkan 'arahan dari atas'. Dan seterusnya adalah fahamilah waqi'.
Hari ini, banyak dari program yang K'Shee hadiri adalah program yang banyak menyantuni golongan yang fragile tadi. Setiap minggu K'Shee akan dikelilingi oleh anak-anak remaja yang dahagakan ilmu dan perhatian. Saat ini K'Shee sedar yang dakwah kita bukan selektif. Dakwah kita untuk semua. Seperti yang dikisahkan oleh Allah dalam asbab-nuzul surah 'Abasa. Alllah menegur Rasulullah kerana mengabaikan satu pihak (Abdullah ibn Ummi Maktum) dan melebihkan pihak Quraisy (favourite group target) dalam dakwah baginda, sedangkan Abdullah ibn Ummi Maktum seorang yang buta tidaklah dapat melihat baginda memasamkan muka.
Rasulullah tidak silap dalam meletakkan keutamaan (aulawiyat), memilih sasaran dalam gerakan dakwah baginda, mereka yang lebih mempunyai kuasa dan ekonomi (favourite group target) namun Allah tetap menegur yang seolah terlupa kepada Abdullah ibn Ummi Maktum yang mempunyai ketulusan hati untuk mendekati dakwah Rasulullah. Impak dari peristiwa ini cukup besar.
Kalau diperincikan, teguran Allah ini kekal menjadi peringatan bukan sahaja untuk Rasulullah malah lebih penting kepada sesiapa sahaja dalam usaha menyambung mata rantai dakwah ilallah. Peringatan ini lebih menjurus kepada sisi akhlak dan strategi dakwah. Jika Rasulullah ditegur kerana seolah-olah menjadikan dakwah baginda selektif, bagaimana pula dengan kita?
K'Shee kini faham apa yang naqibah K'Shee remind sebelum balik ke Msia dulu. Berlapang dada dengan tanggungjawab dakwah di Msia dan pegang pada prinsip bahawa dakwah kita tidak selektif. Masyarakat sekarang umumnya sangat memerlukan daei' yang tidak selektif. Tanggungjawab daei bukan kepada mereka dan mereka yang boleh dipilih atas kapasiti "saya rasa kerja saya dakwah saya lebih mudah dengan mendekati mereka yang berada di kolej-kolej persedian dan univerisiti", tetapi cubalah untuk berlaku adil dan menunaikan hak semua.

Pesanan untuk diri sendiri dan kawan-kawan yang masih takut untuk terjun ke medan atau waqi' kita yang sebenar : Sebenarnya masyarakat ketika ini sangat-sangat memerlukan kita untuk menunjukkan mereka jalan. Jangan sesekali kita mengabaikan mereka. terutamanya golongan yang fragile. Bersama-samalah dengan jemaah yang kita masing-masing yakini dan 'berbakti' untuk masyarakat.
02 June 2009
Harga Sebuah Panggilan Allah
..dan apabila kematian adalah pengajaran paling tepat untuk sebuah kehidupan
"Maha Suci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa' dan Qidam, Tuhan Yang Berkuasa mematikan setiap yang bernyawa, Maha Suci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa."
Hendaklah kamu jawab begini:
Allah Taala Tuhanku,
Muhammad nabiku,
Islam agamaku,
kitab suci Al-Quran ikutanku,
Baitullah itu qiblatku, malahan solah lima waktu, puasa di bulan Ramadhan,mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku. Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku,bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap: “La ila ha illallah Muhammaddur rasulullah" - sura tegas pak iman berkumandang di petang itu.
Bacaan talkin dibacakan untuk para jemaah yang hadir. Inilah peringatan yang sangat berguna untuk kami yang masih merasai nikmat kehidupan. Soalan-soalan bocor ini untuk mengingatkan kami para jemaah bahawa akan sampai masa kami juga akan ditanya oleh malaikat pemegang amanah yang paling setia. Jawapannya pula bukan untuk dihafal oleh kami yang masih hidup kerana nanti sampai saatnya bila roh terpisah dari jasad mana mungkin jawapan-jawapan yang dihafal itu menjamin kita menghadapi Sakratulmaut. Sesunggunya IMAN lah yang akan menjadi suara kita. Bagaimana iman kita, begitulah jawapannya. Jadi, bagaiman IMAN kita?
Bagaimana iman kita?
Bagaimana keimanan kita?
Bagaimana keimanan kita terhadap malaikat? Adakah keimanan kita kepada makhluk Allah yang paling taat ini menjadikan kita insan paling berhati-hati dalam setiap tindak tanduk kita? Benarkah kita yakin bila-bila masa sahaja, malaikat Allah ini akan datang merenggut tangkai nyawa dari jasad kita? Atau kita merasakan malaikat hanya wujud dalam kehidupan para rasul sahaja?
Bagaimana keimanan kita terhadap para rasul dan kitabNya? Dapatkah kita merasakan rasul itu adalah utusan Allah yang dihantar untuk mengajarkan kita tatacara kehidupan yang sebenar dan fitrah? Atau kita merasakan kisah ar-rasul hanyalah khayalan yang dicipta atas propaganda golongan tertentu sahaja? Sejauh mana keikhlasan kita dalam melaksanakan ajaran yang digariskan dalam al-kitab pula? Atau kita hanya mendasari bahawa kita Islam maka kita perlu solat, berpuasa dan menunaikan haji sahaja? Sudahkan kita beriman dengan segala peraturan yang Allah turunkan melalui al-Kitab dan al-sunnah secara mutlak? Tidakkah kita berasa terpanggil apabila al-quran menyeru “wahai manusia” dan “wahai orang yang beriman”? Atau kita merasakan al-kitab itu hanyalah risalah yang perlu dibaca tanpa dihayati penterjemahannya dalam kehidupan seharian kita?
Benarkah kita percaya bahawa pada satu saat nanti kita semua akan dibangkitkan setelah jasad kita hancur dimamah tanah? Percayakah kita bahawa nanti segala perincian hidup kita akan diulang-tayang di hadapan ar-Rasul dan seluruh ummat manusia? Adakah segala amalan kita didasari atas keimanan kita terhadap hari pembalasan?
“Ya Allah, hidupkanlah kami dalam iman, matikanlah kami dalam iman, kumpulkanlah kami dalam iman dan masukkanlah kami ke dalam syurgamu dalam iman”.
“Apabila manusia mati, putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang mendoakan orang tuanya.”
(Hadis Riwayat: Muslim)


