26 November 2009

Eid : The Last Swing




Kesibukan kita dalam urusan harian seolah telah melupakan kita akan hari kebesaran yang bakal kita sambut besok. Percaya atau tidak ada di kalangan kita memilih untuk tidak mahu menyambut hari kebesaran tersebut semata-mata untuk menyiapkan tugasan-tugasan yang tidak pernah putus. Pengecualian kepada mereka yang terpaksa bertugas seperti polis dan doktor. Mereka tiada pilihan!


Bagi mereka yang terpilih menjadi tetamu Allah di tanah suci, mereka sungguh beruntung kerana berpeluang melaksanakan segala ibadah yang dituntut di tempat kelahiran Rasulullah saw. Bagaimana dengan kita yang belum berpeluang seperti mereka? Kita digalakkan untuk menggandakan amalan-amalan kebaikan pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah. Kita digalakkan untuk melebihkan amalan qiamullail, bersedekah serta menolong mereka yang berhajat disamping amalan-amalan seharian yang lain.

Galakan yang paling besar adalah berpuasa pada hari Arafah. Ketika jutaan manusia berkumpul di padang Arafah untuk menunaikan ibadah kemuncak dan ibadah rukun haji, berwukuf, kita juga digalakkan meraikan ibadah kemuncak tersebut dengan berpuasa sunat 9 Zulhijjah

Ditanya kepada Rasulullah s.a.w. berhubung puasa pada hari Arafah, maka Rasulullah s.a.w. bersabda; “Berpuasa pada hari Arafah menghapuskan dosanya setahun sebelum dan setahun selepas”. (Riwayat Imam Muslim).

Eid: Apa tuntutan ke atas kita?

Kita dituntut untuk meraikan hari kebesaran Islam dengan hati yang gembira. Malah jika kita dalam keadaan bersedih disebabkan musibah sekali pun kita digalakkan untuk bersenang hati. Pada hari kebesaran Islam ini, kita dituntut untuk melakukan perkara-perkara kebaikan dan berusaha untuk meninggalkan perkara-perkara yang mendatangkan dosa. Jangan lupa untuk melakukan amalan-amalan sunat pada hari raya (e.g. memakai pakaian yang paling baik dan saling mendoakan sesama Muslim). Pada hari Eidul Adha kita dituntut untuk melakukan ibadah korban seraya menjiwai semangat perngorbanan Nabi Allah Ibrahim dan anakandanya Nabi Ismail. Begitulah indahnya Islam.

Indahnya Hidup di Bawah Bayangan Islam.