06 January 2010

Kenyataan Akhbar PACE : Viva Palestina Convoy



NEWS FROM THE ROAD...


Kenyataan akhbar PACE

5 Januari 2010

PACE desak Kerajaan Mesir supaya menghentikan tindakan menutup terowong kemanusiaan ke Gaza dan memberi laluan kepada konvoi Viva palestina 3

PACE merakamkan rasa dukacita yang amat sangat atas sikap dan pendirian Kerajaan Mesir yang amat jelas bertentangan dengan prinsip kemanusiaan sejagat apabila bertindak menghalang bantuan kemanusiaan yang diterajui oleh konvoi Viva Palestina 3 dari memasuki Gaza. Konvoi Viva Palestina 3 yang digerakkan oleh ahli Parlimen Britain, George Galloway terdiri dari 240 buah ambulan dan lain-lain kenderaan yang membawa bekalan ubat-ubatan, makanan dan keperluan asas telah bertolak dari London pada 5 Disember 2009 merentasi Benua Eropah melalui jalan darat dan sepatutnya dijadualkan tiba di Gaza pada 27 Disember yang lalu. Bantuan ini merupakan sumbangan dari masyarakat antarabangsa tanpa mengira negara, bangsa dan agama. Rakyat Malaysia sendiri melalui PACE, FIMA dan orang perorangan yang bergabung di bawah inisiatif VPM (Viva Palestina Malaysia) telah menyumbang sebanyak 4 buah ambulan. Di samping itu inisiatif yang digerakkan oleh Tun Dr Mahathir turut menyumbang 5 buah ambulan di dalam konvoi tersebut.

Malangnya apabila sampai di Aqaba, Jordan, Kerajaan Mesir tidak memberi kebenaran kepada konvoi tersebut untuk memasuki Gaza melalui pelabuhan Nuweiba di Semenanjung Sinai. Pelabuhan Nuweiba adalah pelabuhan utama dan sangat sesuai untuk mengendalikan jumlah kenderaan yang begitu besar. Namun atas alasan yang direka oleh Kerajaan Mesir telah menyebabkan konvoi berpatah balik melalui Syria dan kemudian mengambil laluan Laut Mediterranean untuk memasuki Mesir dari pelabuhan al-Arish. Pelabuhan al-Arish bukanlah pelabuhan utama dan jika konvoi tersebut memilih untuk memasuki Mesir melalui al-Arish maka mereka terpaksa menyewa 3 buah feri di samping terpaksa menggunakan khidmat pengangkutan udara bagi mengangkut sebahagian dari barang-barang bantuan. Ini melibatkan kos tambahan yang besar iaitu lebih dari USD 500,000 dan ia merupakan satu tanggungan yang cukup besar untuk ditampung oleh Viva Palestina.

Di samping itu Mesir turut mengenakan dua syarat yang tidak munasabah iaitu Viva Palestina mesti menyalurkan bantuan tersebut melalui UNRWA untuk diserahkan kepada penduduk Gaza, dan kedua mesti mendapat kelulusan Israel bagi memasuki Gaza. Adalah satu penghinaan untuk meminta izin dari entiti zionis yang menjadi punca kepada kepungan dan penderitaan rakyat Gaza selama ini.

Adalah amat penting bagi masyarakat antarabangsa mendesak kerajaan Mesir agar mempamerkan rasa persaudaraan Islam dan kemanusiaan sejagat ke atas rakyat Gaza yang hidup dalam keadaan dhaif setelah mengalami sekatan ekonomi menyeluruh dan kepungan sejak tiga tahun yang lalu. Kepungan dan sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Israel adalah menyalahi undang-undang kerana ia mencabar Resolusi PBB 1860 yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB yang memastikan bekalan makanan, ubat-ubatan dan bahan api dibekalkan dan edarkan ke seluruh Gaza tanpa sebarang sekatan dan gangguan. Kelumpuhan ekonomi yang dialami oleh Gaza diparahkan lagi dengan serangan biadap yang dilancarkan oleh Israel pada 28 Disember 2008 dan berterusan selama 22 hari sehingga Januari 2009. Serangan ataupun lebih tepat lagi pembantaian dan pembunuhan beramai-ramai ke atas penduduk awam Gaza telah mengorbankan 1,417 jiwa, separuh darinya adalah wanita dan kanak-kanak. Di samping itu jumlah yang tercedera melebihi 5,000 yang menjadi mangsa kepada senjata pemusnah besar-besaran Israel termasuklah pesawat terbang kawalan jauh ‘predator drone’, peluru berpandu, bedilan kereta kebal, tembakan kapal perang dan bom fosforus puteh yang diharamkan dan disasarkan di tempat-tempat awam. Penderitaan yang tidak terperi ditanggung oleh penduduk Gaza apabila serangan berlaku dalam keadaan mereka tidak dapat keluar dari Gaza dan mencari perlindungan di negara-negara Arab yang berjiran. Bahkan Mesir bertindak menutup sempadan dan menghalang rakyat Gaza yang tercedera menyeberang masuk ke Mesir untuk mendapat rawatan melalui satu-satunya pintu masuk ke Gaza dari Mesir iaitu di Rafah. Bukan sahaja rakyat Gaza tidak dapat memasuki Mesir, bahkan bantuan perubatan dan bekalan ubat-ubatan yang dikirim dari seluruh dunia tidak dibenarkan masuk ke Gaza oleh kerajaan Mesir. Tindakan tidak berperi kemanusiaan ini mencerminkan sikap kerajaan Mesir yang sebenar. Apakah mereka bertindak atas telunjuk Israel dan sekutunya Amerika Syarikat dan mengenepikan tanggungjawab terhadap keselamatan penduduk Gaza.

Kini Kerajaan Mesir bertindak lebih kejam dengan menanam kepingan keluli sedalam 20 hingga 30 meter untuk menutup laluan terowong ke Gaza, satu-satunya ruang yang masih wujud untuk menyalurkan keperluan makanan, ubat-ubatan dan bekalan asas yang lain. Semua ini menimbulkan pelbagai persoalan tentang peranan Mesir di dalam menangani isu Gaza. Apakah Mesir dipergunakan untuk menjaga kepentingan Israel dan Amerika Syarikat sehingga tergamak melakukan sesuatu yang amat bertentangan dengan prisip asas hak asasi penduduk Gaza.

PACE dengan ini mendesak kerajaan Mesir untuk memenuhi tuntutan berikut:

  1. Kerajaan Mesir didesak atas dasar keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Gaza agar memudahkan laluan masuk konvoi Viva Palestina ke Gaza. Kerajaan Mesir sewajarnya memudahkan laluan konvoi dan menyediakan logistik yang munasabah bagi memudahkan penyampaian barang bantuan kepada penduduk Gaza.
  2. Mendesak Kerajaan Mesir supaya mengizinkan sukarelawan dari seluruh dunia yang berada di Kaherah untuk menyertai perarakan keamanan di Gaza sebagai tanda sokongan dan solidarity kepada penduduk Gaza yang terkepung dan teraniaya oleh sikap biadap Israel.
  3. Menuntut Kerajaan Mesir supaya menghentikan kerja-kerja menanam tembok konkrit di dalam tanah untuk menutup laluan terowong ke Gaza. Sehubungan dengan ini PACE menyokong kenyataan Presiden IUMS (Kesatuan Antarabangsa Ulama Islam) iaitu Prof. Dr Yusuf al-Qardhawi yang mendesak agar seluruh rakyat Mesir bangkit mendesak kerajaan mereka menghentikan jenayah ini serta menyeru Liga Arab dan Pertubuhan Negara-negara Islam OIC supaya campur tangan untuk menghentikan tragedi ini.
  4. Membidas kedutaan Mesir ke Malaysia yang memberi pelbagai alasan yang mengelirukan apabila mewajarkan tindakan kerajaan Mesir menyekat pergerakan konvoi Viva Palestina dengan penipuan dan dakwaan tidak benar.

PACE juga mengambil kesempatan ini untuk menyeru seluruh rakyat Malaysia dan warga dunia yang prihatin supaya melakukan perkara-perkara berikut:

  1. Bangkit menyatakan bantahan kepada Kedutaan Mesir dan mengenakan tekanan kepada Kerajaan Mesir supaya mempamerkan sikap kemanusiaan yang tinggi terhadap penderitaan dan kesengsaraan yang dihadapi oleh penduduk Gaza. Keprihatinan ini perlu dibuktikan dengan membuka laluan dan memudahkan perjalanan konvoi Viva Palestina memasuki Gaza dan menghentikan jenayah menutup terowong ‘kehidupan’ ke Gaza.
  2. Keluar untuk menyatakan sokongan ke atas inisiatif yang dilakukan oleh mana-mana pihak untuk mendesak Mesir supaya tunduk kepada tuntutan masyarakat antarabangsa yang prihatin ke atas nasib penduduk Gaza dan menyokong usaha untuk menghentikan kepungan ke atas Gaza.
  3. Menghulurkan bantuan kewangan bagi menampung kos tambahan yang kini terpaksa ditanggung oleh konvoi Viva Palestina akibat dari perubahan laluan yang dikenakan oleh Mesir untuk masuk ke Gaza. Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan mereka kepada Tabung Palestin yang diwujudkan khas melalui Maybank No akaun 562209608847 atas nama Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia. Sila nyatakan sumbangan adalah khusus untuk Viva Palestina 3 dan faks kan slip deposit ke 03-41071754. Sebarang pertanyaan sila kemukakan kepada En Nasir Tampol di no tel 03-41089669.

Dr Hafidzi Mohd Noor

Pengarah

PACE (Pusat Kecemerlangan Palestin)

4 comments:

ROCHIM BLOG said...

ZIONIS ISRAEL tidak akan bisa HANCUR
Selama BANGSA ARAB tidak bisa BERSATU
KEHANCURAN ZIONIS ISRAEL akan LEBIH MUDAH ketika BANGSA ARAB dan DUNIA ISLAM BERSATU.
Nice Post, Thanks for Sharing.
Salam Kenal.

Hansom Boy said...

HANCUR kan MESIR dan NEGARA ARAB yang PRO ISRAEL........!!!!!!!!!

K'Shee said...

k'shee to Rochim: Salam kenal. Dari indonesia ya?

K'Shee said...

k'shee to Rochim: Salam kenal. Dari indonesia ya?